Semua tulisan di dalam weblog yang diambil untuk paparan di mana-mana medium sama bercetak atau secara maya, hendaklah disertakan sekali pautan kepada weblog ini.
Ditulis oleh
kawakib_duriyah
Selasa, Disember 22, 2009
2
ulasan
Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang hadith yang saya suka sejak dibangku sekolah lagi. Ia sangat memegang jiwa saya selama ini. Hadith berkenaan adalah riwayat Aisyah r.a.;
Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya.
Sumber : Hadith ini diriwayatkan di dalam Sahih Ibn Hibban, dalam Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276.
Hadith ini secara jujurnya saya dengar dari kaset ceramah politik Datuk Seri Haji 'Abdul Hadi Awang. Saya menyangka bahawa ia adalah hadith sahih pada ketika itu. Apabila diteliti, hadith ini tidak sahih jika disandarkan kepada Nabi s.a.w. Menurut Ibn Abi Hatim di dalam Kitab al-Ilal, beliau telah bertanya kepada Abu Zur'ah al-Dimasyqi berkenaan hadith ini dengan sanad yang sama dengan sanad yang dikemukakan oleh Ibn Hibban di dalam Sahih Ibn Hibban di atas. Abu Zur'ah membetulkannya dan mengatakan bahawa ia adalah hadith mawquf, iaitu dari kata-kata Aisyah r.a. bukan dari kalam Rasulullah s.a.w. Jika disandarkan hadith di atas kepada Aisyah r.a. maka ia ada sahih. (Rujuk: Kitab al-Ilal, No. Masalah 1800, hlm. 1247)
Semoga hadith ini masing memegang jiwa saya selama-lamanya. Hanya Allah s.w.t. Maha Berkuasa ke atas kita semua.
Nota : Sanad ialah rantaian perawi-perawi bagi sesebuah hadith. Mawquf ialah hadith yang disandarkan kepada sahabat r.a. bukan kepada Nabi s.a.w.
Ditulis oleh
kawakib_duriyah
Selasa, Disember 15, 2009
0
ulasan
Hanya Allah segalanya Pengubat duka Penyeri sunyi Berbicara penuh syahdu Umpama hidup bahagia Tanpa dosa tanpa noda
Hanya Allah jua Kita mendamba Kita setia Kita tertawa Kita suka
Namun ada tetapi Allah datang kita lari Allah suruh kita lawan Allah suka kita benci Allah beri kita tidak peduli Allah puji kita keji
Seteruk itukah kita? Atau cuma kata-kata di kala senja Mungkin tidak, mungkin ya Hanya kita tahu apa Allah lebih Bijaksana Sejauh mana kita lari Semakin laju Allah mendekati
Hanya Allah sahaja Kita perlu puji Kita perlu puja Kita perlu sanjung
Ya Allah... Berikan kami sayap ampun Untuk kami terbang mendekatimu Jangan biarkan kami lari dariMu Kerana takut dari cemeti murkaMu
Ditulis oleh
kawakib_duriyah
Selasa, September 08, 2009
0
ulasan
Serabut adalah makhluk bernyawa Datang ketika ribut melanda Hadir ketika sedih menjelma Hampir bila marah memurka
Hanya kasih penghalau Hanya senyum pengubat Hanya tawa menyekat Hanya suka menyebat Serabut itu...
Ubat mujarab Zikir dan Quran Membaca selalu ada Kadang nafsu meronta Menghempap diri Merubah situasi
Serabut kadang menjelma Bila datang sukar tiada Bila hadir sungguh seksa Allah sungguh berkuasa Bila serabut ada Semua seolah tiada di depan mata Hilang begitu sahaja
Ditulis oleh
kawakib_duriyah
Rabu, Mei 13, 2009
0
ulasan
Sakit aku terus bersambung selepas transit sementara pada hari minggu yang lepas. Sekarang bersambung kembali bermula Isnin hingga tulisan ini dititip. Mengikut maklumat dari kotak gambar berbunyi, matahari sedang berada tegak di atas garisan tropika, menyebabkan panas yang terlalu terik.
Tekak aku masih sakit, mungkin kerana kurang bercakap perkara yang baik atau kurang mengingati Empunya tekak ini. Maafkan diriku. Tentang selamat hari ibu, aku sudah lali dengan sambutan ini, kerana aku tidak menyambutnya bersama ibuku kerana sebelum aku mengetahui ada sambutan hari ibu, ibuku telah pergi lebih awal. Kira-kira dua puluh tahun yang lalu. Bagi aku, hari ibu tidak perlu disambut pada hari-hari tertentu, kerana kita semestinya menyambut hari ibu setiap hari.
Apakah kita mampu membalas jasa ibu kita hanya dengan menyambut hari berkenaan. Pada zaman Rasulullah s.a.w. dulu pernah berlaku, ada sahabat r.a. yang mendukung atau mengangkat ibunya menunaikan haji sehingga selesai. Lalu beliau berjumpa Rasulullah s.a.w. dan bertanya, adakah beliau telah berjaya membalas jasa ibunya itu. Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kamu tidak akan dapat membalasnya walaupun kamu mendukungnya sampai mati." (Hadith ini aku tidak pasti status kesahihannya, kerana aku cuma mendengar daripada Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor di dalam kuliah kursus Ahadith Akhlak tahun 2002)
Jadi, aku rasa tidak perlu kita sambut hari ibu kerana kita semestinya mengingati ibu setiap hari setiap masa. Orang-orang yang memulakan sambutan ini adalah kerana hidup mereka terlalu mengejar dunia, sehingga mereka lupa ahli keluarga mereka. Ini yang banyak berlaku di negara Barat, apabila anak-anak ada kehidupan, mereka lupa siapa yang melahir dan menjaga mereka selama ini.
Bagi aku, ibu adalah asbab kewujudanku. Tanpa Wan Salamah Wan Ahmad maka tiadalah Ahmad Saifuddin bin Yusof yang sedang menaip patah perkataan ini sekarang. Terima kasih ibu, hanya lafaz ini kumampu.
Ditulis oleh
kawakib_duriyah
Rabu, Mei 06, 2009
2
ulasan
Badan aku tidak berapa sihat sekarang. Mungkin kerana cuaca yang tidak menentu atau mungkin juga kerana aku sudah satu setengah tahun tidak merasai sakit seperti demam ini. Tetapi ada sesuatu yang pelik tentang demam ini, kerana ada seorang tabi'in (saya lupa namanya) dahulu pernah berkata, "Sakit yang aku suka adalah demam." Pelik bukan, ada juga orang suka pada demam.
Aku rasa, mungkin dengan datang demam, kita akan merasakan kehadiran Tuhan menegur segala silap selama ini. Atau mungkin dengan datangnya demam, kita akan rasa betapa nikmatnya sihat selama ini. Tetapi adalah lebih pelik lagi kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda (mafhum), "Demam itu adalah daripada percikan api neraka." (Maaf, aku lupa sumber hadith ini, tetapi ia sahih). Api neraka!
Betulkah begitu? Para ulama' memberi pelbagai pandangan tentang hal ini. Tetapi aku ada pandangan berbeza, sebenarnya apa yang dikatakan Nabi s.a.w. itu adalah isyarat bahawa, dengan cara demam kita boleh mengingati azab api neraka, kerana kita akan terasa kepanasan suhu badan kita. Dengan perbezaan 0.5 darjah celsius sudah cukup untuk membuatkan kita demam. Api neraka bagaimana pula? Sudah tentu lebih dahsyat lagi bukan.
Apa yang aku rasa sekarang agak terganggu kerana aku mesti menyiapkan juga bab terakhir disertasi sarjana aku dalam masa terdekat ini. Badan seperti berhenti berfungsi untuk membantu aku menyiapkan beban ini. Mohon pada sekalian sahabat, memberi sedikit perangsang untuk aku teruskan tanggung jawab ini. Semoga ia dapat menguatkan lagi semangat aku meneruskan perjuangan ini. Biar pun sekelumit, ia tetap bermakna. Terima kasih aku ucapkan pada kalian.
Ditulis oleh
kawakib_duriyah
Jumaat, Mei 01, 2009
0
ulasan
Untuk ke sekian kali aku cuba menulis juga untuk kumohon semangat dari yang Esa. Sekarang penulisan sedang dalam rangka akhir untuk kuakhiri penuh ikhlas. Tetapi tenaga seakan terhenti, tubuh seperti diam berdiri. Aku masih mencari punca, atau mungkin kerana kurang komunikasi dengan Yang Esa. Aku memohon kepada semua supaya mendoakan aku untuk terus berlari kerana garisan penamat semakin hampir untuk kutuju.
Lutut seperti mahu mengalah, tetapi minda masih positif untukku terus bertahan. Tolong Tuhan, aku memohon seribu ampunan supaya aku dapat berlari dengan tenang. Semakin dekat dengan garisan, semakin bertalu ujian mendatang. Dari paluan canang syaitan persetan hingga perkara picisan yang tidak perlu difikirkan. Apa lagi yang kumahu untuk kusimpul disertasi ini. Laptop sudah di depan, sepuluh jari masih kuat untuk berlari mencari kalimah makna. Kesakitan luaran yang kualami hasil kerana saban masa berteleku bersengkang mata mencari bilah-bilah kata untuk dititipkan pada disertasi ini.
Kumerayu untuk kuhabiskan tanggung jawab ini. Beban yang agak berat di bahu ini, harus kuselesaikan dengan segera mungkin. Mohon Ya Allah untuk kuhabisi kesimpulan ini, untuk dinoktahkan kalimah-kalimah ini. Mohon satu persejuta tenaga dari langit untuk gagahkan diri dan hati ini mendarat dengan penuh ikhlas dan rendah diri. Kumohon tiap titik peluh dan sukat tenagaku agar menjadi hujjah di depanMu. Mohon dikira berapa huruf, berapa kalimah, berapa baris untuk diberi ganjaran di sana.
Hanya ampunan dariMu untuk kutenangkan hati ini, meneruskan perjuangan minda dan raga. Kupinta ditunjukki jalan benar lagi betul untuk setiap saat dan detik yang berlari-lari. Setiap milisaat mohon ditunjuk Ya Allah...
Cantingkan hati ini dengan batik ikhlas dan rendah diri, patuh dan taat, syahdu dan rindu padaMu. Kumohon Tuhan, untuk kuakhiri beban ini... Bahuku semakin lenguh untuk kupikul, kumohon tenaga yang tersisa ini mampu diteruskan jua. Allah... hanya Kamu Yang Maha Mampu.
Ditulis oleh
kawakib_duriyah
Sabtu, Mac 14, 2009
0
ulasan
Senak benak ini menahan gelojak Sakit hati ini menahan goda Sedih jiwa ini meronta sepi Semakin jauh dari Tuhan ‘Alamin Semakin dekat pada nafsu dan syaitan
Dibius nafsu serakah Kejang tidak berbalas Menggelupur tidak bergerak Bergerak tanpa makna Hanya merenung tanpa apa-apa
Paluan serakah acuan syaitan Persetan syaitan celaka seluruh waris Jauhkan dari diri ini yang hanya kelu Diam tanpa makna Sepi tanpa kata
Gerakkan seluruh jawareh ini menempelak Mencaci, memaki seluruh waris syaitan Mohon dijauh seluruh badan seluruh keturunan Kali ini ku berdiam seribu makna, sejuta rasa Diam bukan bererti kalah Diam bukan bererti salah Diam bukan bermakna aku menyerah Diam tanpa kata penuh makna
Semua jawareh ini bertempur tanpa kata Mohon bantuan tentera malaikat langit ketiga Keempat jua ketujuh Seluruh artilari, pesawat pejuang iman Membunuh persetan syaitan Berkubu di benak ini sekian lama
Persetan kau syaitan Aku akan tetap ke Syurga Engkau memang selama di Neraka
Kawakib Duriyah Gombak, Selangor 11.30 pm, Rabu 25 Februari 2009